Tuesday, July 26, 2011

Sahabat Sejati





Sahabat, kawan dan teman membawa maksud umum yang sama. Cuma setiap insan mentafsirkan pengertiannya dengan pendapat yang berbeza. Sahabat yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringatkan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat akan mati.


“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)


Sahabat diperumpamakan sebagai pelangi, jarang sekali untuk kita ketemui tetapi sekali ia muncul membawa seribu erti dan kegembiraan. Sahabat yang mulia, kehadirannnya amat sempurna, pemergiannya pula tidak menyusahkan kita kerana kita mengerti dia pandai menjaga diri dan imannya.


Seringkali kita ucap sayang kepada sahabat kita sehinggakan takut dan teragak-agak untuk menegur setiap kesalahan yang mereka lakukan di depan mata kita. Bukan apa, takut dek kerna teguran kita, sahabat itu terus terasa hati dengan kita. Tetapi bagi mereka yang benar-benar menghargai erti sebuah persahabatan, teguran tersebut amat penting untuk kebaikan sahabat di akhirat kelak. Semoga dapat ketemu di syurga yang indah suatu hari nanti.


Sahabat yang sejati ialah sahabat yang berkongsi masalah bersama-sama, berpanas hujan bersama, menahan lapar bersama, pendek kata semuanya bersama-sama. Cintailah dan sayangilah sahabat sejati kita kerana Allah SWT, InsyaAllah mereka juga akan membalas kebaikan dan menyayangi kita tanpa rasa terpaksa.Bak kata pepatah Arab;

“Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya:
“Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

  • Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.
  • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.
  • Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.
  • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
  • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.
  • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
  • Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.
  • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu.
  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.
  • Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.
  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
  • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
  • Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat.
  • Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.


Sajak untuk Sahabat

Dikala hujan turun kerana ketentuan-Nya

Membasahi bumi Tuhan keseluruhnya

Mendinginkan dan menyejukkan alam kehidupan

Membersihkan debu-debu kotor di dedaunan

Memberi rahmat dan harapan pada sekalian makhluk.


Lalu sinar mentari menampakkan wajahnya

Menyingkap selimut tirai awan yang meliputi

Pancaran sinaran hangat terasa

Membelai meniup hembusan kehidupan


Pandanglah dongaklah dilangit biru

Lembut warnanya menutupi cekerawala

Indah melambai mengagumkan

Syukur dan takjub mata melihatnya


Pelangi nun jauh mempersona

Dipandang cantik penuh keasyikan

Warna-warnimu berkilau sentiasa

Berpadu lembut menghias angkasa


Waktu silih berganti

Pelangi melangkah pergi

Mentari menenggelamkan diri

Malam tiba penuh kedamaian


Kerdip bintang kembali menghiasi

Berkilau cahaya bak berlian

Menerangi seluruh gelap malam

Menjadi peneman sang rembulan


Sahabatku..

Kita telahpun meniti waktu demi waktu

Berjalan bersama membawa segenggam tujuan

Menjaga untaian persahabatan agar tidak terlerai

Biarlah masa berlalu dan berganti hari

Namun persahabatan kita kekal abadi


Hari ini, ku panjatkan segulung doa untukmu

Kepada Tuhan aku menadah tangan dan memohon

Semoga kebahagiaan, kemuliaan dan kedamaian

Sentiasa melimpah ke atas diri mu

Selagi engkau berpijak di bumi nyata ini


Sahabatku..
kita telah meniti waktu demi waktu
Melangkah bersama dalam untai persahabatan

Mencari mu umpama permata dalam serpihan kaca

Aku rela terluka keranamu sahabat

Kerana kau satu dalam berjuta


Engkaulah sahabat terbaik di sisiku

Walaupun pertemuan kita hanya sementara

Semoga keindahan persahabatan kita kekal selamanya

Seperti indah sang pelangi dan kerdip bintang di malam hari.



Ingatlah kali terakhir anda berada dalam kesulitan

Siapa yang berada di samping anda?

Siapa yang mengasihi anda saat anda merasa tidak dicintai?

Siapa yang ingin bersama anda di saat anda tak memberikan apa-apa?

Itulah Sahabat anda Hargailah dan peliharalah ikatan persahabatan yang sungguh istimewa ini



“Ketika kita memperoleh kejayaan, teman dan sahabat mengenal kita

Di kala ditimpa kesengsaraan, kita mengenal teman dan sahabat kita”




No comments: