Tuesday, July 26, 2011

Taubat Hamba-Mu





Pengertian taubat menurut Syara’ ialah kembali kepada Allah dengan berpegang teguh kepada kewajipan yang diwajibkan kepada hamba-Nya. Meninggalkan larangan-Nya atau beralih dari setiap perbuatan yang dibenci kepada yang disenangi.


Orang yang bertaubat amat beruntung kerana dapat kembali menjalankan perintah Allah dan menjauhkan larangan-Nya. Inilah hakikat taubat sehingga Allah memberi kejayaan dan pahala kepada sesiapa yang mentaati hakikat ini. Firman-nya:


“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman semoga kamu beruntung (mendapat kemenangan)”. (An-Nuur: 31)


Al-Quran menjelaskan bahawa Allah Maha Pengasih, Penyayang dan Maha Pengampun yang sentiasa mengampunkan segala dosa hamba-Nya yang mahu bertaubat. Firman-Nya lagi:


“Katakanlah, wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri. Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”.
(Az-Zumar: 53-54)


Melalui Sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Pengampun, Allah menjanjikan rahmat dan pengampunan dari semua dosa kepada hamba-Nya yang bertaubat. Allah SWT pula bertanya mengapa kamu tidak mahu bertaubat sedangkan taubat adalah amalan yang mulia di sisi-Nya sebagaimana Firman-Nya;


“Maka mengapa mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Al-Maidah: 74)


Oleh kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, melimpah-limpah rahmat-Nya dan mencintai hamba-Nya yang bertaubat, maka adalah suatu kesilapan bagi seseorang yang melambat-lambatkan taubatnya sehingga menunggu pada sesuatu masa yang tertentu, seperti menunggu di hari tua, setelah menunaikan haji, setelah bersara, setelah berilmu, setelah berjaya meninggalkan maksiat, setelah berkeluarga atau sebagainya. Maka melengah-lengahkan taubat seperti ini adalah suatu kejahilan dan kesilapan yang nyata. Sebenarnya Allah menyeru agar hamba-Nya sentiasa bersegera meminta keampunan dan bertaubat kepada-Nya sebagaimana Firman-Nya:


“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”. (Ali-Imran: 133)



Doa Taubat


Aku memohon ampun Ya Allah, Maha Penerima Taubat,

Aku memohon ampun Ya Allah daripada segala dosa,

Tambahkan kepadaku ilmu yang berguna,

Berikanlah aku amalan yang dimakbulkan,

Kurniakan kepadaku rezeki yg meluas,

Terimalah taubat kami dgn taubat Nasuha.




Tuhanku, aku tidak layak untuk Syurga-Mu,

Namun ku tak pula sanggup menanggung seksa Neraka-Mu,

Dari itu kurniakanlah, ampun padaku, ampuni dosaku,

Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dosa-dosa besar,

Dosaku umpama pepasir terima taubatku,

Wahai Tuhan yang Maha Agung,

Umurku berkurang setiap hari, dosaku bertambah,

Bagaimanakah akan ku tanggung akan ku tanggung.





No comments: